Wednesday, 4 March 2020

Al-Imran_4-3-159


4.3.159.
Juz:4,Surah:3.
Surah 3, Ayat 159:


Ringkasan tafsir;

Ayat ini diturunkan selepasnya berlaku perang Uhud. Allah telah memberi pujian kepada Rasul kerana bersikap penyantun dan berlembut, walau pun mereka cuai mengabaikan perintahnya didalam perang Uhud. Inilah kurnia Allah kepada Nabi dengan sifat penyabar, penyantun  dan berlemah lembut kepada mereka itu. (lihat ayat 128 surah at-Taubah).

Dan Allah menyeru kepada Rasul, supaya segala kesalahan mereka yang lalu dalam peperangan Uhud itu adalah sebagai tauladan dan maafkanlah  mereka dan mintalah ampun kepada Allah segala dosa mereka itu.

Dan Allah menyuruh kepada Rasul, supaya berilah peluang  kepada mereka mengeluarkan pendapat dan mengemukakan syor supaya dapat dimaklumi dan bermesyuaratlah bersama bertukar fikiran untuk mendapat satu sepakatan bersama.
Adapun faedah mesyuarat ialah;
1. dapat menyelami keupayaan tingkat fikiran dan fahaman seseorang , dan dapat diduga nilai kasih sayang keikhlasan terhadap perkara mengenai maslahat umum.
2. dapat diterbitkan pendapat yang lebih berguna yang tidak dapat diterbitkan oleh orang perseorangan.
3. dapat memilih pendapat yang baik dari setiap pendapat itu dibincangkan dari segala sudut dan jurusan yang kemudian dapatlah dipilih pendapat yang paling benar dan sesuai pada ketika itu.
4. dapat menunjukkan persepakatan dan persetujuan hati dari beberapa golongan pihak tertentu untuk melaksanakan suatu keputusan supaya cita-cita semua pihak dapat tercapai.

Jika keputusan dicapai  dalam persidangan mesyuarat untuk melakukan sesuatu rancangan maka laksanakanlah apa yang telah diputuskan agar kebaikan akan dapat dinikmati bersama. Dan selepas itu bertawakal lah dan bersandarlah dan berserah dirilah kepada Nya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah diri kepada Nya.

Apa yang dimaksudkan bermesyuarat diatas itu ialah membincangkan perkara yang mengenai hal urusan keduniaan dan maslahat peperangan dan sebagainya dan tidak boleh dibawa bincang perkara hukum yang diwahyukan oleh  Allah.
Adapun wahyu yang diturunkan oleh Allah adalah tidak dibenarkan bagi Rasul Nya untuk memesyuaratkannya kepada para sahabat dan dalam mesyuarat, kerana ianya merupakan suatu perintah dan hukum yang jelas dan tidak boleh diminta pendapat orang dalam perkara itu. 
 


[Rumah] [Sebelum] [Selepas] [Tafsir Jawi]
 
via, 
nhance2u@yahoo.com.my
nhance2u.MaafkanKami@blogger.com